Saturday 24 August 2013

Islam Segar Di Andalusia



ISLAM BERSINAR: Masjid Cordoba yang begitu unik dengan lengkungan merah-putih. 

DUA minggu lamanya kami menjelajah Andalusia di selatan Sepanyol. Perjalanan bermula dari kota Madrid, kemudian diteruskan ke Toledo, Cordoba, Serville, Ronda, Marbella dan akhirnya ke Granada sebelum kembali ke kota Madrid untuk meneruskan penerbangan ke Istanbul. Memang perjalanan menyusuri kesan sejarah Islam di Andalusia meninggalkan impak yang mendalam.
Begitu hebatnya peninggalan kesan-kesan sejarah Islam seperti masjid-masjid yang tersergam gah yang kini kebanyakannya telah diubah menjadi gereja-gereja. Namun, kehadiran kesan peninggalan Islam masih utuh terpahat di dalam gereja-gereja tersebut kerana ayat-ayat Al-Quran di tembok-tembok gereja dan rekabentuk kubah di pintu-pintu gerbang dan bahagian-bahagian bangunan masih lagi jelas kelihatan, sementara menara dan mihrab yang dahulunya pernah menjadi kemegahan Islam masih lagi tidak terusik dalam gereja-gereja tersebut.
Salah satu daya tarikan di Cordoba ialah Masjid Cordoba atau kini digelar Mezquita-Catedral de Cordoba. Masjid Cordoba terletak di ibu kota Sepanyol iaitu Cordoba semasa pemerintahan dinasti Umayyah Khalifah Abdurrahman III pada tahun 787. Pada 1994, Masjid Cordoba telah ditetapkan oleh Unesco sebagai salah satu tempat peninggalan yang sangat bersejarah dan penting di dunia. Di dalam masjid ini terdapat lebih kurang 850 tiang yang tersusun rapi yang menopang kemegahan masjid tersebut. Tiang-tiang itu berbaris sehingga membentuk seperti lorong yang panjang.
Masjid Cordoba dikatakan boleh menempatkan sekitar 20,000 jemaah untuk solat Jumaat ketika pemerintahan khalifah tersebut.
Setelah penaklukan Sepanyol oleh Raja Leon Alfonso VII, Masjid Cordoba berubah fungsinya menjadi sebuah gereja. Beberapa tiang di bahagian tengah masjid kemudian dirobohkan dan diberi penambahan katedral gothik sementara menara masjid itu pula diubah menjadi menara loceng gereja.
Kini Masjid Cordoba diberi nama Cathedral Mezquita (Katedral Masjid). Masjid Cordoba paling terkenal dengan lengkungan gerbang raksasa yang menghubungkan tiang-tiang masjid.
Bahan yang digunakan untuk membuat tiang-tiang ini berbeza; ada yang diperbuat daripada onyx, marmar, granit dan ada juga jasper. Ini membuatkan sesiapa sahaja yang berada di dalam masjid ini berasa kagum. Corak gerbang yang bergaris-garis merah putih pula memberi ciri unik pada dalaman Masjid Cordoba. Pada mihrabnya pula, terukir dengan tinta emas dan biru 99 nama asma Allah swt.
Semasa di Granada pula, tentunya tarikan utama merupakan istana peninggalan Bani Ummayah iaitu Istana Alhambra yang terletak di bukit La Sabica. Istana Alhambra atau dalam Bahasa Arab bermaksud ‘Istana Merah’ tersergam indah setanding Taj Mahal.
Hampir seluruh bahagian bangunan yang didirikan oleh Sultan Muhammad bin Ahmar yang berketurunan Moor, berwarna merah. Alhambra menempatkan sebuah masjid, istana dan kompleks kota silam kerajaan Moor Granada.
Alhambra pernah menjadi tempat tinggal raja-raja Muslim Granada dan menempatkan juga mahkamah mereka. Unesco telah menetapkan Alhambra sebagai warisan budaya peninggalan Muslim Sepanyol. Alhambra tersergam gah di bahagian tertinggi Granada dan kita dapat menikmati pemandangan yang indah keseluruhan kota Granada dari istana tersebut. Di taman Alhambra pula terdapat kolam air pancut yang dihiasi dengan 12 patung singa.
Keistimewaan Alhambra terletak pada tulisan yang begitu indah dalam huruf Arab yang mewarnai dinding dan tiang-tiangnya iaitu ‘Laa ghaliba Illallah’ (tiada kejayaan selain Allah). Kemegahan Alhambra sebagai simbol istana Islam runtuh setelah ia berubah menjadi istana kerajaan Kristian setelah Raja Ferdinand V mengepung Granada selama tujuh bulan pada pertengahan 1491. Granada akhirnya jatuh ke tangan Raja Ferdinand V dan Ratu Isabella pada 2 Januari 1942.
Rakyat Islam Andalusia mempunyai dua pilihan di bawah Raja Katolik (Catholic Monarch) atau Los Reyes Catolicos – iaitu memeluk agama Kristian atau keluar dari Andalusia. Namun begitu, Islam tidak terus lenyap di Andalusia. Pada 2003, terbina sebuah masjid Meszuita Mayor de Granada (Masjid Besar Granada). Masjid baru ini menempatkan dua bahagian iaitu sebuah pusat pengajian Islam, dewan solat dan sebuah taman luas yang dibuka kepada umum. Taman ini menghadap bukit La Sabika, tempat tersergam Alhambra. Daripada taman masjid ini pengunjung akan dapat menikmati pemandangan Alhambra yang begitu indah. Berdekatan dengan masjid ini pula ialah Mirador San Nicolas, sebuah kawasan yang sering dikunjungi oleh pelawat untuk melihat keindahan matahari terbenam di Alhambra.
Masjid Besar Granada ini dibina untuk memenuhi keperluan komuniti Islam di Granada yang semakin meningkat. Sememangnya melihat sendiri kesan-kesan peninggalan sejarah Islam di Andalusia pasti akan menimbulkan perasaan yang berbaur – sedih di atas keruntuhan kerajaan Islam di Andalusia, namun bangga Islam masih segar berkembang sehingga kini. Yang lebih menyentuh perasaan adalah sepanjang perjalanan 10 hari menyusuri Andalusia ini kami ditemani oleh sekumpulan saudara Islam – Tuan Hj Mohammad Carlos Abu Anuar (ketua agensi GoldenPalmGroup International), Abu Zakaria, Ammar, Yasin, Malik, Adnan, Salim dan Mohamad Dominguez. Mereka merupakan saudara-saudara Islam yang menetap di Granada dan bertugas sebagai pengiring pelancong dengan syarikat GoldenPalmGroup International. Memang terasa ukhuwah persaudaraan Islam sepanjang perjalanan dan di setiap perhentian, mereka memastikan keselamatan dan keperluan kami dijaga baik.
Kehadiran lapan bersaudara ini sepanjang perjalanan kami dari lapangan terbang Madrid sehingga Granada membuat kami rasa terharu. Semangat menghidupkan syiar Islam begitu kental dalam diri mereka. Permulaaan perjalanan kami tidak pernah sepi dengan doa dan syukur kepada Allah.
Makanan kami juga dipastikan agar daging-daging halal disediakan dan jadual waktu solat juga telah diberikan. Malah di hotel terbesar di Madrid iaitu Hotel Auditorium, telah tersedia sajadah, Al-Quran dan arah kiblat khas untuk kegunaan kami. Sentuhan yang diberikan oleh saudara-saudara Islam ini terpahat dalam sanubari.
Kami juga sempat berkenalan dengan ahli keluarga mereka yang hadir di majlis makan malam sambil menikmati persembahan nasyid oleh kumpulan Islam di Granada. Pada malam perpisahan di Granada, kami tidak dapat menahan titisan air mata dan rasa sebak. Layanan yang telah diberikan kepada kami terlalu baik dan sukar kami lupakan. Puas rasanya menjelajah Andalusia dan bangga kerana sentuhan Islam yang telah diberi oleh saudara- saudara Islam ini membuktikan Islam masih segar di Andalusia.

Saturday 17 August 2013

Kereta remuk dihempap kren

KUALA LUMPUR - Sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di USJ2/3 Subang Jaya, berdekatan pusat membeli-belah Summit dekat sini, remuk selepas dihempap kren yang diguna dalam pembinaan landasan LRT hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
"Kita difahamkan oleh syarikat yang bertanggungjawab, bahawa 'handle' kren tersebut bengkok sebelum ia menghempap bumbung kereta itu yang remuk 90 peratus," katanya. Sambung...

Friday 16 August 2013

EPL guna Hawk-Eye tentukan bola lepasi gol

LONDON: Bola sepak England bakal mencatat sejarah apabila ia menjadi pertandingan domestik pertama di dunia menggunakan teknologi bagi menghuraikan masalah menentukan sama ada bola sudah melepasi garisan gol atau tidak.
Sistem tersebut telah pun digunakan dalam kejohanan-kejohanan Piala Dunia Kelab Fifa pada tahun lalu dan dalam Piala Persekutuan di Brazil pada tahun ini.
Kededua kejohanan berjalan tanpa sebarang kejadian kontroversial di depan gawang.
Kini, sistem tersebut menghadapi ujian besar pertamanya apabila Liga Perdana England (EPL), yang telah pun mengaturkan sebanyak 380 perlawanan dalam musim ini, menjadi kejohanan domestik pertama menggunakannya.
Bagaimanapun, tarikh penggunaan sistem itu belum dipastikan.
Syarikat Britain, Hawk-Eye, telah dipilih membekalkan teknologi tersebut, yang menggunakan kamera yang dipasang di kesemua 20 padang perlawanan Liga Perdana yang boleh mengesan pergerakan bola.
Sistem Hawk-Eye ini menggunakan sebanyak 14 kamera (tujuh pada setiap gawang) untuk mengesan pergerakan bola dan boleh menentukan sama bola telah melepasi garisan gol atau tidak.
Apabila sesuatu jaringan dibuat, satu signal akan dihantar kepada pengadil perlawanan dalam masa beberapa saat sahaja ke jam tangannya.
Hawk-Eye, yang membekalkan teknologi serupa bagi perlawanan kriket dan tenis, berkata sistem itu "sejitu beberapa milimeter".
Mantan ketua pengadil Liga Perdana, Keith Hackett, menyifatkan sistem tersebut sebagai "amat bijak".
Jika sesuatu jaringan tidak jelas, sistem Hawk-Eye itu juga akan menyiarkan ulang tayang percubaan tersebut pada skrin di stadium dan kepada penonton televisyen.
Penganjur Liga Perdana telah lama menyokong penggunaan teknologi dalam pertandingan bola sepak dan telah menguji sistem Hawk-Eye itu sejak 2006.
Bagaimanapun, sistem tersebut hanya diluluskan selepas Fifa menimbangkan semula bantahannya terhadap penggunaan teknologi bagi menghuraikan masalah jaringan gol kontroversial pada 2012 dan selepas ujian lanjut selama sembilan bulan dijalankan.

Rooney tetap penting bagi England

ROONEY: Disifatkan oleh pengurus England, Roy Hodgson, sebagai antara pemain terbaik pasukan negara itu dan akan sentiasa ditimbangkan untuk beraksi. – Foto REUTERS.

LONDON: Wayne Rooney masih merupakan pemain utama dalam pasukan England sama ada beliau berpeluang beraksi secara tetap di peringkat kelab atau tidak, menurut pengurus England, Roy Hodgson, kelmarin.
Masa depan penyerang antarabangsa England dan Manchester United itu kelihatan tidak menentu buat masa ini.
Beliau tidak lagi mendapat tempat dalam pasukan utama United, termasuk dalam perlawanan persahabatan pramusim dan Perisai Masyarakat Ahad lalu.
Rooney juga menjadi punca tercetusnya perang dingin antara pengurus United, David Moyes, dan pengurus Chelsea, Jose Mourinho.
Chelsea sejauh ini telah membuat dua bidaan bagi mendapatkan Rooney, yang terbaru sebanyak £25 juta ($49 juta), tetapi kededuanya ditolak United.
Moyes pula bertegas bahawa Rooney tidak akan dijual tetapi tidak menjelaskan peranan sebenar penyerang itu dalam skuadnya.
Hodgson berkata bahawa beliau lebih suka jika masa depan Rooney diputuskan tetapi berkata beliau pernah menghadapi masalah serupa sebelum ini.
"Sepanjang kerjaya saya (sebagai pengurus kelab) dan sebagai pengurus pasukan negara, saya pernah mengalami masalah ini banyak kali iaitu para pemain tidak semestinya dapat beraksi selalu untuk pasukan mereka.
"Tetapi oleh kerana bakat dan kualiti yang mereka miliki, mereka tetap terpilih (untuk mewakili negara)," kata Hodgson ketika menyiapkan pasukannya bagi menghadapi Scotland dalam satu perlawanan persahabatan.
"Rooney akan sentiasa ditimbangkan untuk mewakili England selagi beliau cergas secara fizikal kerana beliau merupakan antara pemain yang terbaik kami."

Busuk.com

My Blog List