DUA
minggu lamanya kami menjelajah
Andalusia di selatan
Sepanyol. Perjalanan bermula dari kota Madrid, kemudian diteruskan ke
Toledo, Cordoba, Serville, Ronda, Marbella dan akhirnya ke Granada
sebelum kembali ke kota Madrid untuk meneruskan penerbangan ke
Istanbul. Memang perjalanan menyusuri kesan sejarah Islam di Andalusia
meninggalkan impak yang mendalam.
Begitu hebatnya peninggalan kesan-kesan sejarah Islam seperti
masjid-masjid yang tersergam gah yang kini kebanyakannya telah diubah
menjadi gereja-gereja. Namun, kehadiran kesan peninggalan Islam masih
utuh terpahat di dalam gereja-gereja tersebut kerana ayat-ayat Al-Quran
di tembok-tembok gereja dan rekabentuk kubah di pintu-pintu gerbang dan
bahagian-bahagian bangunan masih lagi jelas kelihatan, sementara menara
dan mihrab yang dahulunya pernah menjadi kemegahan Islam masih lagi
tidak terusik dalam gereja-gereja tersebut.
Salah satu daya tarikan di Cordoba ialah Masjid Cordoba atau kini
digelar Mezquita-Catedral de Cordoba. Masjid Cordoba terletak di ibu
kota Sepanyol iaitu Cordoba semasa pemerintahan dinasti Umayyah Khalifah
Abdurrahman III pada tahun 787. Pada 1994, Masjid
Cordoba telah
ditetapkan oleh Unesco sebagai salah satu tempat peninggalan yang sangat
bersejarah dan penting di dunia. Di dalam masjid ini terdapat lebih
kurang 850 tiang yang tersusun rapi yang menopang kemegahan masjid
tersebut. Tiang-tiang itu berbaris sehingga membentuk seperti lorong
yang panjang.
Masjid Cordoba dikatakan boleh menempatkan sekitar 20,000
jemaah untuk solat Jumaat ketika pemerintahan khalifah tersebut.
Setelah
penaklukan Sepanyol oleh Raja Leon Alfonso VII, Masjid Cordoba berubah
fungsinya menjadi sebuah gereja. Beberapa tiang di bahagian tengah
masjid kemudian dirobohkan dan diberi penambahan katedral gothik
sementara menara masjid itu pula diubah menjadi menara loceng gereja.
Kini
Masjid Cordoba diberi nama Cathedral Mezquita (Katedral Masjid). Masjid
Cordoba paling terkenal dengan lengkungan gerbang raksasa yang
menghubungkan tiang-tiang masjid.
Bahan yang digunakan untuk membuat tiang-tiang ini berbeza; ada yang
diperbuat daripada onyx, marmar, granit dan ada juga jasper. Ini
membuatkan sesiapa sahaja yang berada di dalam masjid ini berasa kagum.
Corak gerbang yang bergaris-garis merah putih pula memberi ciri unik
pada dalaman Masjid Cordoba. Pada mihrabnya pula, terukir dengan tinta
emas dan biru 99 nama asma Allah swt.
Semasa di Granada pula, tentunya tarikan utama merupakan istana
peninggalan Bani Ummayah iaitu Istana Alhambra yang terletak di bukit La
Sabica. Istana Alhambra atau dalam Bahasa Arab bermaksud ‘Istana Merah’
tersergam indah setanding Taj Mahal.
Hampir seluruh bahagian
bangunan yang didirikan oleh Sultan Muhammad bin Ahmar yang berketurunan
Moor, berwarna merah. Alhambra menempatkan sebuah masjid, istana dan
kompleks kota silam kerajaan Moor Granada.
Alhambra pernah menjadi tempat tinggal raja-raja Muslim Granada dan
menempatkan juga mahkamah mereka. Unesco telah menetapkan Alhambra
sebagai warisan budaya peninggalan Muslim Sepanyol. Alhambra tersergam
gah di bahagian tertinggi Granada dan kita dapat menikmati pemandangan
yang indah keseluruhan kota Granada dari istana tersebut. Di taman
Alhambra pula terdapat kolam air pancut yang dihiasi dengan 12 patung
singa.
Keistimewaan Alhambra terletak pada tulisan yang begitu indah
dalam huruf Arab yang mewarnai dinding dan tiang-tiangnya iaitu ‘Laa
ghaliba Illallah’ (tiada kejayaan selain Allah). Kemegahan Alhambra
sebagai simbol istana Islam runtuh setelah ia berubah menjadi istana
kerajaan Kristian setelah Raja Ferdinand V mengepung Granada selama
tujuh bulan pada pertengahan 1491. Granada akhirnya jatuh ke tangan
Raja Ferdinand V dan
Ratu Isabella pada 2 Januari 1942.
Rakyat Islam Andalusia mempunyai dua pilihan di bawah Raja Katolik
(Catholic Monarch) atau Los Reyes Catolicos – iaitu memeluk agama
Kristian atau keluar dari Andalusia. Namun begitu, Islam tidak terus
lenyap di Andalusia. Pada 2003, terbina sebuah masjid Meszuita Mayor de
Granada (Masjid Besar Granada). Masjid baru ini menempatkan dua bahagian
iaitu sebuah pusat pengajian Islam, dewan solat dan sebuah taman luas
yang dibuka kepada umum. Taman ini menghadap bukit La Sabika, tempat
tersergam Alhambra. Daripada taman masjid ini pengunjung akan dapat
menikmati pemandangan Alhambra yang begitu indah. Berdekatan dengan
masjid ini pula ialah Mirador San Nicolas, sebuah kawasan yang sering
dikunjungi oleh pelawat untuk melihat keindahan matahari terbenam di
Alhambra.
Masjid Besar Granada ini dibina untuk memenuhi keperluan komuniti
Islam di Granada yang semakin meningkat. Sememangnya melihat sendiri
kesan-kesan peninggalan sejarah Islam di Andalusia pasti akan
menimbulkan perasaan yang berbaur – sedih di atas keruntuhan kerajaan
Islam di Andalusia, namun bangga Islam masih segar berkembang sehingga
kini. Yang lebih menyentuh perasaan adalah sepanjang perjalanan 10 hari
menyusuri Andalusia ini kami ditemani oleh sekumpulan saudara Islam –
Tuan Hj Mohammad Carlos Abu Anuar (ketua agensi GoldenPalmGroup
International), Abu Zakaria, Ammar, Yasin, Malik, Adnan, Salim dan
Mohamad Dominguez. Mereka merupakan saudara-saudara Islam yang menetap
di Granada dan bertugas sebagai pengiring pelancong dengan syarikat
GoldenPalmGroup International. Memang terasa ukhuwah persaudaraan Islam
sepanjang perjalanan dan di setiap perhentian, mereka memastikan
keselamatan dan keperluan kami dijaga baik.
Kehadiran lapan bersaudara ini sepanjang perjalanan kami dari
lapangan terbang Madrid sehingga Granada membuat kami rasa
terharu. Semangat menghidupkan syiar Islam begitu kental dalam diri
mereka. Permulaaan perjalanan kami tidak pernah sepi dengan doa dan
syukur kepada Allah.
Makanan kami juga dipastikan agar daging-daging
halal disediakan dan jadual waktu solat juga telah diberikan. Malah di
hotel terbesar di Madrid iaitu Hotel Auditorium, telah tersedia sajadah,
Al-Quran dan arah kiblat khas untuk kegunaan kami. Sentuhan yang
diberikan oleh saudara-saudara Islam ini terpahat dalam sanubari.
Kami
juga sempat berkenalan dengan ahli keluarga mereka yang hadir di majlis
makan malam sambil menikmati persembahan nasyid oleh kumpulan Islam di
Granada. Pada malam perpisahan di Granada, kami tidak dapat menahan
titisan air mata dan rasa sebak. Layanan yang telah diberikan kepada
kami terlalu baik dan sukar kami lupakan. Puas rasanya menjelajah
Andalusia dan bangga kerana sentuhan Islam yang telah diberi oleh
saudara- saudara Islam ini membuktikan Islam masih segar di Andalusia.