Friday 15 November 2013

PENENTUAN KELAYAKAN PIALA DUNIA Ronaldo terpaksa hadapi Ibrahimovic

DUA 'SUPERSTAR': Cristiano Ronaldo (atas) dijangka menghadapi tentangan lebih hebat apabila terpaksa berdepan dengan Ibrahimovic. - Foto fail
PENENTUAN KELAYAKAN PIALA DUNIA
PARIS: Persaingan merebut empat tempat terakhir dalam Kumpulan Eropah bagi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan dijadualkan bermula dinihari esok (waktu Singapura).
Ia akan menyaksikan Perancis dan Portugal meneruskan perjuangan menyertai Sepanyol dan Jerman ke Brazil.
Portugal, diketuai superstar Cristiano Ronaldo dijangka menghadapi tentangan lebih hebat apabila berdepan dengan Sweden yang mempunyai ikon sendiri iaitu Zlatan Ibrahimovic.
Pada masa yang sama, bekas juara Perancis akan bertandang ke Kiev bagi berdepan dengan Ukraine.
Dua lagi perlawanan penentuan menyaksikan bekas juara Eropah, Greece, berdepan dengan Romania, sementara Iceland, yang berusaha menjadi negara paling kerdil melayakkan diri ke Piala Dunia, menyambut kedatangan Croatia, yang pernah mara ke peringkat separuh akhir pertandingan itu pada 1998.
Jurulatih Portugal, Paulo Bento, yang pernah membimbing anak didiknya mara ke separuh akhir kejohanan Eropah tahun lalu, sedar jangkaan tinggi yang diletakkan ke atas pasukannya.
"Saya faham mengapa jangkaan kali ini lebih tinggi kerana ia (Piala Dunia) diadakan di Brazil. Tetapi, matlamat kami tetap sama walaupun ia diadakan di tempat lain," kata Bento kepada laman web Fifa.com.
"Cita-cita kami tidak berubah, tetapi kami sedar hakikatnya. Di luar sana, jangkaan ke atas kami melayakkan diri amat tinggi kerana ia bakal berlangsung di Brazil dan mereka berbual dalam bahasa Portugis.
"Ramai pemerhati berasa kecewa kerana menyedari sama ada Ronaldo atau Ibrahimovic tidak akan dapat beraksi di Brazil selepas perlawanan dua pusingan itu,'' tambahnya.
Bagaimanapun, Ibrahimovic, yang beraksi bersama pasukan Paris Saint Germain, berkata pasukannya wajar mendapat tempat dalam undian pasukan yang bakal bertanding dalam Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung 6 Disember di Mata de Sao Joao.
"Portugal mungkin menjadi pilihan kerana kedudukan mereka dan individu yang berada dalam pasukan itu. Tetapi kami muncul naib juara dalam kumpulan yang turut terdiri daripada Jerman yang mewajarkan kami ke Brazil," kata kapten Sweden itu.
Di Kiev, Ukraine bakal menjadi hos kepada Perancis yang menghadapi bahaya gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia sejak 1994.
Perancis juga mahu melupakan kenangan pahit bertanding dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan apabila pemain mereka enggan turun menjalani latihan.
Namun, jurulatih Didier Deschamps yang pernah menjadi kapten pertama Perancis menjulang Piala Dunia pada 1998 selepas mengalahkan Brazil di Paris, yakin anak didiknya berada dalam keadaan baik bagi mengatasi Ukraine.
"Perlawanan mungkin berlangsung di padang tetapi akal yang menggerakkan kaki," kata bekas jurulatih Juventus dan Monaco itu berfalsafah.
"Kami berada dalam keadaan 'bersaing' dan 'berjuang'. Tidak ada ruang untuk berasa ragu-ragu, tidak pasti atau banyak soal," kata Deschamps."
SAMBUNG BACAAN..

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

My Blog List