Friday 26 July 2013

Nasib pesalah remaja diketahui hari ini

KEMATIAN CETUS KEMARAHAN: Penunjuk perasaan di India membawa kain rentang ketika mengadakan perarakan lilin di Guwahati, setelah mangsa rogol beramai-ramai di New Delhi meninggal dunia. Keputusan perbicaraan salah seorang suspek kes itu dijangka diumumkan hari ini. - Foto AFP
KES ROGOL DI INDIA


NEW DELHI: Sebuah mahkamah India dijangka memberikan keputusan pertama hari ini bagi salah seorang lelaki yang dituduh merogol seorang mahasiswa berusia 23 tahun secara beramai-ramai.
Kes wanita yang dirogol dalam sebuah bas dan kemudian meninggal dunia Disember lalu akibat kecederaan yang dialaminya telah mencetuskan rasa marah dan bantahan di seluruh negara.
Sebuah mahkamah juvenil di New Delhi telah selesai mendengar kes suspek termuda dalam kes itu, yang berusia 17 tahun ketika dia melakukan serangan itu.
Majistret utama, Cik Geetanjli Goel, sepatutnya mengumumkan keputusannya pada 11 Julai lalu tetapi menangguhkan keputusan sehingga hari ini.
Jika didapati bersalah, remaja itu yang melarikan diri dari rumah ketika berusia 11 tahun, boleh dihantar ke pusat pemulihan akhlak bagi tempoh maksimum tiga tahun, termasuk masa yang sudah pun dihabiskan dalam tahanan.
Remaja itu, yang menurut ibunya merupakan anak bongsu dalam keluarga enam beradik, digajikan untuk membersihkan bas yang digunakan dalam kejadian serangan itu dan sering tidur dalam bas atau di mana sahaja, nyata laporan media sebelum ini. Dia menafikan terlibat dalam jenayah itu.
Keluarga mangsa telah menggesa agar suspek itu dibicarakan sebagai orang dewasa, bersama lima lagi lelaki yang mula-mula ditahan pada 16 Disember lalu.
"Dia melakukan jenayah paling kejam dan walaupun dia di bawah umur, tertuduh tidak harus dibebaskan selepas tiga tahun," kata bapa mangsa kepada agensi berita AFP minggu ini, merujuk kepada hukuman maksimum yang boleh diterima remaja itu.
Mahasiswi jurusan fisioterapi itu dipukul, dirogol dan didera dengan sebatang besi oleh enam lelaki setelah menaiki bas dengan seorang teman ketika mereka dalam perjalanan pulang daripada menonton wayang.
Mahasiswa itu meninggal dunia dua minggu kemudian akibat kecederaan dalam yang dialami semasa serangan itu.
Bantahan yang berlaku menyusuli jenayah itu selama beberapa minggu telah mendorong parlimen meluluskan undang-undang baru yang memberikan hukuman lebih berat ke atas perogol, sedang orang ramai cuba mencari jawapan menangani masalah keganasan terhadap wanita yang semakin meningkat.
Kelima-lima lelaki yang didakwa berhubung kes itu dikenakan tuduhan membunuh, rogol, menculik, merompak dan berkomplot.
Perbicaraan bagi empat lelaki dewasa yang dituduh dalam kes itu diteruskan di mahkamah berasingan dan dijangka selesai dalam masa beberapa bulan akan datang.
Jika didapati bersalah, mereka mungkin dikenakan hukuman mati.
Sementara itu, lelaki dewasa kelima yang terbabit dalam kes itu, Ram Singh, meninggal dunia dalam penjara Mac lalu. Dia dipercayai membunuh diri.

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

My Blog List